MEDIA HIGHLIGHTS


UTeM Beri Pendedahan Tentang Keunikan Melaka Serta Tingkat Kemahiran Komunikasi Pelajar Tokushima University Jepun


Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan kerjasama Tokushima University – UTeM Academic Centre (TMAC) telah menganjurkan Program TMAC Summer Camp 2019 melibatkan 72 pelajar dari Tokushima University, baru-baru ini.

Program ini turut melibatkan kerjasama bersama Pusat Antarabangsa dan Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan (PBPI) UTeM tersebut telah berlangsung di sekitar Negeri Melaka di samping menjadikan UTeM sebagai pusat utama latihan.

Penganjuran program ini turut melibatkan seramai 21 orang pelajar UTeM yang terdiri daripada 11 wakil pelajar dari Society of Manufacturing Engineering (SME) dan 10 orang buddies daripada Pusat Antarabangsa UTeM.

Naib Canselor UTeM, Prof. Dr. Raha Abdul Rahim dalam ulasan beliau mengenai program tersebut menyatakan bahawa program yang berlangsung selama sembilan hari tersebut telah diadakan bertujuan untuk menyediakan platform bagi pelajar Tokushima University untuk mempertingkatkan mutu dan keyakinan untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris serta menambahbaik lagi kemahiran kendiri mereka melalui program-program yang telah diatur sepanjang ianya berlangsung.

Tambah beliau, melalui program Summer Camp, diharapkan kolaborasi antara UTeM dan Tokushima University akan dapat diperkukuhkan lagi dan seterusnya memberi peluang kepada pelajar dan staf UTeM untuk terlibat sama dalam aktiviti pengantarabangsaan selari dengan hasrat UTeM untuk mendedah dan mengantarabangsakan setiap lapisan masyarakat UTeM khususnya.

Program selama sembilan hari tersebut telah berlangsung bermula di Kolej Kediaman Satria UTeM, seterusnya dibawa ke tempat-tempat tumpuan di Melaka seperti Sky Trex and Botanical Garden, River Cruise, Muzium, Perkampungan Hang Tuah, Menara Taming Sari, Dataran Pahlawan, Mahkota Parade, Jonker Walk dan A Famosa Resort.

Kesemua tempat yang dibawa adalah bertujuan bagi memperkenalkan bumi Melaka kepada para peserta di samping memperbaiki bahasa inggeris mereka menerusi Practical English Field Trip.